Secara amnya kajian tindakan
merujuk kepada penyelidikan ke atas amalan oleh pengamal, baik secara individu
mahupun bersama pengamal lain; untuk mengubah dan menambah baik amalan sedia
ada. Dalam bidang pendidikan, pengamal boleh terdiri daripada seorang guru,
pentadbir atau seseorang kaunselor sekolah, atau individu lain yang terlibat
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, lazimnya kajian
tindakan merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan oleh guru untuk
memperbaiki amalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, guru boleh
menyelidik kaedah pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakannya untuk
meningkatkan lagi keberkesanan pengajarannya.
Guru juga boleh
menjalankan penyelidikan ke atas para pelajarnya bagi mengenal pasti kesukaran
yang dihadapi oleh mereka dalam memahami sesuatu perkara atau topik yang
diajar. Melalui penyelidikan yang dijalankan, guru akan beroleh maklumat bagi
merangka suatu tindakan yang bakal diambil, diikuti oleh suatu penyemakan sama
ada tindakan yang diambil itu berkesan atau tidak. Sekiranya tidak berkesan,
maklumat baru akan dikumpul bagi membuat tindakan susulan dengan diikuti
penyemakan seterusnya. Penyelidikan ini dijalankan secara berterusan
sehinggalah penyelesaian ditemui untuk masalah yang dihadapi. Oleh itu,
kajian tindakan boleh dikatakan menghubungkan suatu penyelidikan dengan
tindakan agar tindakan yang diambil oleh guru adalah tindakan yang berasaskan
fakta atau maklumat yang diperoleh melalui penyelidikan yang dijalankan oleh
guru sendiri sebagai pengamal.
Terdapat beberapa definisi yang sering dirujuk tentang kajian tindakan:
Elliot (1981) - Elliot menyifatkan kajian tindakan sebagai suatu kerangka penilaian kendiri (framework for self evaluation) dan pendekatan yang digunakan, mementingkan aktiviti refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk memperbaiki atau mengubah amalan kendiri dalam lingkungan situasi sosial yang terdiri daripada guru, pelajar, pentadbir, ibu bapa dan individu-individu lain yang berkepentingan. Menurutnya, kajian tindakan juga merupakan penyelidikan situasi sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti tindakan dalam lingkungan sendiri. Definisi yang selalu dijadikan rujukan, khususnya di Malaysia, ialah kajian tindakan guru berkaitan dengan permasalahan harian yang dilalui oleh guru, bukannya masalah teoritikal seperti mana yang dikemukakan oleh penyelidik akademik.
Ebbut (1985) - Ebbut mendefinisikan kajian tindakan sebagai suatu penyelidikan yang
sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan
memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri
serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.
McNiff (1988) - McNiff mendefinisikan kajian tindakan sebagai satu pendekatan untuk
memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan
menggalakkan guru-guru menyedari amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap
amalan-amalan tersebut, dan bersedia untuk mengubahnya. Kajian ini melibatkan
guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka, di samping melibatkan guru-guru
lain.
Cochran & Lytle (1990) - Cochran & Lytle mentakrifkan kajian tindakan sebagai penyelidikan berasaskan bilik darjah yang merupakan inisiatif guru dan dilaksanakan oleh guru. Penyelidikan yang dijalankan membolehkan guru meneroka isu-isu yang menarik perhatian mereka. Pendekatan ini juga membolehkan ilmu guru dijadikan sebahagian daripada literatur pendidikan dan seterusnya, secara tidak langsung, menyumbang ke arah pembinaan struktur pendidikan.
Cochran & Lytle (1990) - Cochran & Lytle mentakrifkan kajian tindakan sebagai penyelidikan berasaskan bilik darjah yang merupakan inisiatif guru dan dilaksanakan oleh guru. Penyelidikan yang dijalankan membolehkan guru meneroka isu-isu yang menarik perhatian mereka. Pendekatan ini juga membolehkan ilmu guru dijadikan sebahagian daripada literatur pendidikan dan seterusnya, secara tidak langsung, menyumbang ke arah pembinaan struktur pendidikan.
Kember & Gow (1992) - Kember & Gow menyatakan kajian tindakan melibatkan pengamal
(guru) yang cuba membaiki pengajaran mereka melalui lingkaran yang melibatkan
proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian, dan refleksi.
Calhoun (1993) - Calhoun menyatakan bahawa kajian tindakan boleh dibahagikan kepada
tiga kategori, iaitu kajian tindakan individu (individual action research),
di mana kajian tindakan dilaksanakan oleh guru secara bersendirian; kajian
tindakan kolaboratif (collaborative action research), iaitu penyelidikan
yang dilaksanakan oleh sekumpulan guru dengan individu di institusi pengajian
tinggi atau yang setaraf dengannya; school wide action research, iaitu
penyelidikan yang melibatkan seluruh staf atau guru bersama konsortium sekolah.
McBride & Schostak (1994) - kajian tindakan merupakan refleksi tentang pengajaran sendiri yang dilakukan dalam satu putaran perubahan, di mana fokus utama adalah untuk memperbaiki amalan kendiri.
McBride & Schostak (1994) - kajian tindakan merupakan refleksi tentang pengajaran sendiri yang dilakukan dalam satu putaran perubahan, di mana fokus utama adalah untuk memperbaiki amalan kendiri.
No comments:
Post a Comment